Wednesday, June 30, 2010

24-08-2003 19th IIUM Convocation Presidential Speech

Speech of YB. Tan Sri Sanusi Junid, President of International Islamic University of Malaysia at the 19th IIUM Convocation Ceremony - 2nd Session on 24th August 2003.

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Yang Berbahagia Professor Dr. Mohd Kamal Hassan,
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Ahli-ahli Majlis dan Ahli-ahli Senat,
Timbalan-timbalan rektor,
Kakitangan akademik dan pentadbiran,
Dif-dif terhormat,
Ibu-ibu, bapa-bapa, waris-waris,
Para pelajar dan para hadirin sekelian.

Sama-sama kita memanjatkan syukur kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan petunjuknya kita dapat berada di sini pada hari yang bersejarah bagi para graduan, ibubapa serta keluarga yang hadir.

Ini ialah konvokesyen yang ke-19 bagi universiti ini dan angka 19 adalah istimewa di dalam Al Quran dengan adanya ayat yang bermaksud “Atas segalanya ialah 19”.

Semoga, kerja kita pada hari ini mendapat berkat dari yang Maha Esa.

Terima kasih

Pada permulaan kesempatan ini ingin saya mengucapkan tahniah kepada ibubapa yang telah mendidik anak hingga layak untuk menjadi pelajar di universiti ini. Ramai ibubapa dan anak mereka yang kecewa kerana tidak berkesempatan belajar di sini.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada pelajar yang telah menggunakan kesempatan untuk belajar di sini sehingga lulus dengan cemerlang.

Seterusnya saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada tenaga pengajar universiti ini yang bertanggungjawab berkongsi ilmu, yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t. kepada mereka, dengan para graduan sekalian.

Kita juga tidak lupa kepada yang membiayai pembangunan universiti ini, membayar belanja mengurusnya dan kemudian membekal biasiswa atau pinjaman kepada para graduan.

Ikatan budi antara graduan, ibubapa, warga universiti dan kerajaan telah memungkinkan berlansungnya acara bertuah pada hari ini.

Kepada semua, kita ucapkan berbanyak terima kasih. Semoga ikatan budi ini akan terus berada di dalam perbendaharaan ingatan kita.

Sifat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Universiti ini ialah tajaan Persidangan Organisasi Islam atau OIC. Oleh itu, ianya adalah hasil dari satu tajaan di peringkat global.

Universiti ini membawa nama Islam. Oleh itu, cabaran baginya adalah lebih dari universiti-universiti yang tidak membawa nama Islam. Tanggungjawab kita di sini bukan saja kepada keluarga, bangsa dan negara tetapi juga kepada agama.

Universiti ini juga membawa nama antarabangsa, tenaga pengajarnya datang dari lebih 40 negara dan pelajar-pelajarnya pula datang dari hampir 100 negara.

Oleh itu, para pelajar UIAM berkesempatan mendapat pendedahan yang bersifat antarabangsa.

Oleh kerana nama Malaysia juga ada pada nama universiti ini bermaknalah pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa secara automatik menjadi duta-duta kecil negara Malaysia.

Graduan

Oleh itu, alangkah membazirnya wang negara jika setelah mendapat ijazah, para graduan masih tidak keluar dari tempurung dan masih tidak mahu atau tidak berani untuk berdepan dengan cabaran globalisasi yang menuju ke arah gaya mewujudkan sebuah ‘New World Order’.

Dengan ilmu yang ada pada saudara, dengan pendedahan yang bersifat antarabangsa, para graduan hendaklah terus menambah ilmu dan pengalaman untuk menjadi pemimpin dan agen perubahan dalam bidang atau aspek yang umat Islam tidak pernah berjaya, kerana kurang perhatian, setelah zaman nabi besar Muhammad s.a.w.

Bidang yang kurang mendapat perhatian yang serius ini ialah perpaduan ummah.
 
Perpaduan

Mengikut bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Madeleine Albright, cara yang terbaik untuk Israel ialah mengiktiraf negara Palestin. Mengikutnya, ini kerana jika Palestin sudah diiktiraf, umat Islam di Asia Barat pasti bertelingkah dengan hebatnya kerana mereka tidak ada sebab untuk bersatu menentang musuh yang sama.

Anggapan Madeleine Albright ialah umat Islam itu bersatu kerana Israel dan bukan kerana Islam.

Di Britain pula, selama berpuluh tahun puluhan pertubuhan Islam tidak dapat menubuhkan ‘Muslim Council of Britain’ atau Majlis Islam Britain sehinggalah tertulisnya buku “The Satanic Verses” karangan Salman Rushdie, yang membuat umat Islam begitu marah dan terus bersatu menubuhkan majlis perpaduan tersebut.

Sekali lagi kita tidak bersatu kerana Islam, malahan kita bersatu kerana musuh atau pengkhianat dalam Islam seperti Salman Rushdie.

Di Malaysia, selepas peristiwa 13 Mei 1969, di mana Melayu dan Cina berbunuh-bunuhan, umat Islam telah bersatu. Semua parti-parti politik umat Islam telah bergabung.

Sedarlah, kita tidak bersatu kerana Islam, walau apa jua alasan yang diberi. Kita bersatu untuk berdepan dengan orang-orang Cina. Kita takut mereka membunuh lagi. Kita bersiap untuk mampu berdepan dengan apa jua bentuk pembunuhan.

Bila orang-orang Cina tidak membunuh lagi, kita juga tidak lagi bersatu.

Baru-baru ini kita bersatu menentang rancangan Amerika, Britain dan Sepanyol menyerang Iraq.

Sekali lagi kita disatukan bukan kerana kehendak Islam, tetapi kita terpaksa bersatu kerana George Bush dan Tony Blair. Dua orang inilah yang menyatupadukan umat Islam. Merekalah bapa perpaduan umah.

Tetapi, perpaduan kita itu juga tidak ke mana.

Iraq tetap diserang atas alasan palsu, kononnya Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran atau ‘weapon of mass destruction’ yang sehingga kini ternyata sebaliknya.

Walaupun terdapat negara-negara bukan Islam menentang rancangan serangan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berusaha mengelak berlakunya peperangan, negara Iraq tetap diserang.

Benarlah kata Bapak Simatupang, Ketua Dewan Gereja Indonesia di suatu masa dulu, katanya “Umat Islam terlalu ramai untuk tidak dipedulikan, tetapi terlalu lemah untuk diperhitungkan”.

Kelemahan kita ialah kerana kita tidak bersatu.

Jihad

Serangan tambahan yang baru oleh pihak Amerika, atas dayausaha George Bush sendiri ialah melaksanakan rancangan mengkristiankan umat Islam secara besar-besaran. Berertilah mereka berusaha mengkafirkan umat Islam.



Usaha ini dibantu oleh umat Islam sendiri kerana ada di antara kita yang lebih handal berjihad dengan mengkafirkan umat Islam dari mengislamkan yang kafir.

Benarlah kata-kata yang menyebut bahawa jihad umat Islam yang paling berhasil ialah jihad menentang sesama Islam, atas berbagai alasan. Jihad umat Islam terhadap musuh Islam belum pernah berhasil selepas zaman nabi besar Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda.

Saya menawarkan universiti ini sebagai pusat jihad untuk menyatupadukan umat Islam.

Saya menyeru kepada para tenaga pengajar dan pentadbir serta para graduan supaya memilih cara susah dan bukannya cara senang untuk berjihad iaitu berjihad untuk perpaduan.

Di mana sahaja warga universiti ini berada, khususnya para graduan, gunakanlah ilmu, pengalaman, semangat dan masa untuk menyeru kepada perpaduan. Kita perlu mengisi dan mewarnakan bangsa dan negara dengan isi dan warna Islam, seolah-olah kita mengisi dan mewarnakan sebuah tempayan yang besar.

Tetapi, sebelum diisi dan diwarnakan tempayan, hendaklah kita pastikan tempayan itu tidak pecah.

Seruan

Oleh itu, keluarkanlah dari hati dan sanubari kamu rasa cemburu, dendam, dengki dan benci yang merugikan.

Isikanlah sudut yang terluang dihati itu dengan perasaan cinta dan sayang kepada keluarga, jiran, bangsa dan tanahair berlandaskan agama.

Dari menjadi puntung guris yang lembab dan basi basah, puntung akan membara semula. Hembuslah puntung ini hingga bernyala-nyala. Tiuplah seruling jihad untuk perpaduan dan disitulah letaknya harapan kita.

Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment